KOTA KINABALU: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang barat berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka melanda kawasan perairan Sabah Barat dan Labuan sehingga Isnin, 15 Julai depan.
Jabatan itu memaklumkan keadaan angin kencang dan laut bergelora bagi kategori ketiga ini berbahaya kepada bot-bot kecil, aktiviti rekreasi laut dan sukan laut.
“Amaran cuaca sama untuk kategori kedua iaitu angin kencang barat berkelajuan 50 hingga 60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka melanda kawasan perairan Reef North, Layang-Layang dan Labuan untuk tempoh masa sama.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” katanya.
Beliau berkata, amaran bagi kategori ketiga untuk aktiviti perkapalan, iaitu angin kencang barat melebihi 60 kmsj dengan ombak setinggi melebihi 4.5 meter juga dijangka di kawasan perairan timur laut Reef North, untuk tempoh masa sama.
“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.
“Bagi amaran kategori pertama iaitu angin kencang barat daya berkelajuan 40 hingga 50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka di kawasan perairan Phuket dalam tempoh Sabtu bersamaan 13 Julai sehingga Selasa, 16 Julai depan,” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost