Pendaki Warga Singapura Parah Tergelincir Di Gunung Kinabalu

Pendaki warga Singapura parah selepas tergelincir di kilometer 8.3 Summit Trail, Gunung Kinabalu.

RANAU: Seorang pelancong warga Singapura parah selepas tergelincir di kilometer 8.3, Summit Trail, ketika menuruni puncak Gunung Kinabalu, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa wanita berusia 41 tahun terbabit mengalami kecederaan disyaki patah tulang buku lali kiri.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian pada jam 8.06 pagi.

Katanya, sepasukan tujuh pegawai dan anggota terus dikerah ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Operasi turut dibantu pasukan SAR Taman-Taman Sabah dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR).

“Sebaik tiba di lokasi, mangsa didapati cedera patah di buku lali kiri berdasarkan keadaan perubahan bentuk kaki,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Riki berkata, pasukan MOSAR terus memberi bantuan dan rawatan awal bagi menstabilkan keadaan mangsa.

Katanya, mangsa seterusnya dibawa turun ke Timpohon Gate dengan menggunakan Robinson Stretcher.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *