TAWAU: Seorang pemandu meninggal dunia selepas kenderaan jenis sedan dinaikinya bertembung dengan jenis kenderaan utiliti sukan (SUV) di lampu isyarat Fujimart, Jalan Kuhara di sini.
Mangsa lelaki berumur 33 tahun itu disahkan meninggal dunia serta merta di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian jam 1.40 pagi itu berlaku semasa pemandu lelaki SUV berumur 19 tahun dari arah Taman Semarak menuju ke bandar Tawau.
“Mangsa yang memandu kenderaan jenis sedan pula dalam perjalanan dari arah Fujimart menuju ke Taman May Flower, Jalan Kuhara.
“Semasa tiba di lampu isyarat itu, kedua-dua kenderaan bertembung di bahagian tengah jalan lampu isyarat sehingga menyebabkan SUV berpusing melanggar tiang dan terbabas sejauh 105 meter masuk ke laluan bertentangan.
“Kenderaan sedan pula terbabas sejauh 155 meter ke bahu jalan kiri menuju bandar Tawau,” katanya.
Beliau berkata, impak kemalangan menyebabkan pemandu sedan tersepit di
bahagian pemandu dan berjaya diikeluarkan dengan bantuan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian manakala pemandu SUV
tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan
teruk di bahagian hadapan dan pihak polis masih meneruskan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, JBPM Tawau dalam satu kenyataan berkata, pihak bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa di lokasi kejadian menggunakan peralatan khas.
“Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi keseluruhan ditamatkan jam 2.26 pagi,” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost