TAWAU: Sebuah rumah dan dua kenderaan musnah terbakar dalam kejadian di Batu 5 Jalan Apas, di sini, tengah malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.27 tengah malam.
Katanya, seramai 16 anggota dan pegawai bersama empat buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam.
“Sebaik tiba, pasukan operasi mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis separuh kekal yang bersambung dengan kedai cuci kereta musnah dalam kebakaran.
“Turut terbakar sebuah lori musnah keseluruhan dan kereta terbakar 10 peratus dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba terus menjalankan operasi memadam menggunakan dua pancutan daripada sumber air tangki jentera bomba.
“Kebakaran hanya membabitkan kemusnahan harta benda sahaja, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan lokasi kebakaran selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.04 pagi,” katanya.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost