
KOTA KINABALU: Hujan berterusan di ibu negeri menyebabkan pokok tumbang dan menghempap kereta jenis kompak milik salah seorang peserta bengkel kursus kewangan yang diletakkan di tepi jalan Taman Ujana Tropika Berhampiran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di sini.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, kejadian jam 10.45 pagi itu bagaimanapun tidak membawa sebarang kecederaan kepada pemiliknya.
Katanya, operasi memotong dan mengalihkan pokok tumbang terbabit sudah diambil alih oleh pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sebelum ketibaan bomba.
“Pasukan bomba kemudian membuat pemeriksaan untuk memastikan tiada lagi bahaya lain,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, penghuni di sebuah rumah berdepan detik cemas selepas pokok durian tumbang dan menghempap bahagian dapur kediaman mereka di Kampung Takis Papar.
Riki Mohan berkata, kejadian jam 9.30 pagi itu bagaimanapun tidak membawa sebarang kecederaan kepada penghuni.
Katanya, sepasukan pegawai serta anggota segera bergerak ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 9.35 pagi untuk menjalankan operasi menyelamat.
“Semasa ketibaan pihak bomba di lokasi, bahagian atap rumah mangsa mengalami kerosakan akibat kejadian itu.
“Pasukan bomba bertindak memotong pokok tumbang menggunakan gergaji berantai dan dialihkan ke kawasan selamat,” katanya
Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan terlibat dan pasukan bomba membuat pemeriksaan di sekitar kawasan kejadian untuk memastikan tiada lagi bahaya lain yang wujud.
Katanya, operasi keseluruhan ditamatkan jam 11.15 pagi.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost