Polis Tahan Lelaki Disyaki Curi Buah Kelapa Sawit

Suspek terbabit ditahan bersama buah kelapa sawit yang dicuri.

TAWAU: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki cuba mencuri buah kelapa sawit di Ladang Felda Kalabakan, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai aktiviti curi buah kelapa sawit di kawasan berkenaan.

Katanya, anggota Ronda Cegah Jenayah (RCJ) dari Balai Polis Kalabakan digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan serbuan di sebuah ladang sawit.

“Hasil serbuan itu, anggota RCJ mengesan sebuah lori sarat dengan muatan buah kelapa sawit dalam keadaan mencurigakan di lokasi kejadian.

“Pemeriksaan lanjut, suspek didapati membawa buah kelapa sawit dipercayai hasil curi di ladang berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Jasmin berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian jenayah boleh menyalurkan terus kepada pihak Polis.

“Maklumat juga boleh disalurkan menerusi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang dimuat naik melalui telefon bimbit.

“Saya menyeru seluruh masyarakat di daerah ini supaya bersama-sama berganding bahu bagi membanteras kegiatan jenayah daripada terus berleluasa,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *