Kanak-Kanak Maut Dipercayai Dibaham Buaya Di Sandakan

Mayat kanak-kanak mangsa dipercayai baham buaya ditemukan penduduk kampung.

SANDAKAN : Kanak-kanak lelaki ditemukan meninggal dunia dipercayai dibaham buaya di sungai Kampung Lembaga Batu 8, Jalan Datuk Tay, di sini, hari ini.

Mayat mangsa berusia sembilan tahun ditemui oleh penduduk kira-kira 500 meter dari lokasi dia dilaporkan dibaham buaya ketika melakukan aktiviti mandi-manda di sungai berkenaan.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 12.16 tengah hari.

Katanya, sepasukan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan diketuai Alan Ayuh digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba bertindak menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan menggunakan kaedah pencarian di permukaan.

“Mangsa berjaya ditemui oleh penduduk kampung 500 meter dari lokasi mangsa dibaham buaya, jam 3.05 petang,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi SAR turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *