Sembilan Peserta Perhimpunan Tiada Dokumen Pengenalan Diri Ditahan Polis

Peserta perhimpunan aman di hadapan Menara Kinabalu.

KOTA KINABALU: Polis menahan sembilan individu yang dipercayai menyertai Perhimpunan #KamiMahuAir Sabah anjuran kumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, petang Jumaat selepas gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda mengesahkan semua individu terbabit ditahan berhampiran tempat perhimpunan berkenaan.

“Sebaik mereka beredar menaiki kenderaan, polis membuat pemeriksaan di dalam van dinaiki mereka dan didapati sembilan individu tidak memiliki dokumen.

“Semua mereka sudah dibawa ke balai polis dan dalam proses dokumentasi lagi,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Perhimpunan yang bermula dengan perarakan dari hadapan kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, disertai kira-kira 80 peserta terdiri daripada mahasiswa wakil komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, Kasim berkata, pihaknya akan membuka kertas siasatan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 terhadap kumpulan perhimpunan berkenaan.

“Kita juga akan rujuk dengan pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sebahagian kecil peserta perhimpunan yang berada di hadapan Menara Kinabalu selama 17 jam itu bagaimanapun pulang ke kampus kira-kira jam 8 pagi Sabtu.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *