SPRM Tahan Pegawai Bank, Dalang Urusan Jual Beli Tanah Milik FELDA

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi pegawai bank di Sabah kerana dipercayai terbabit dengan sindiket yang menawarkan penjualan tanah milik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di Melaka.

Suspek lelaki berusia sekitar 40-an ini dipercayai dalang bagi membantu urusan pembukaan akaun perbankan atas nama FELDA yang palsu bagi membolehkan sindiket terbabit melakukan urusan transaksi jual beli dengan pembeli.

Perintah reman selama enam hari sehingga 19 Jun 2024 terhadap dikeluarkan Majistret Wan Farrah Fariza Wan Ghazali selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pada Khamis.

Menurut sumber, suspek ditahan ketika hadir bagi merakam keterangan di Pejabat SPRM Sabah, sekitar jam 9.45 malam Rabu.

“Tangkapan suspek ini susulan penahanan lapan individu membabitkan lima lelaki di Kuala Lumpur dan dua wanita bersama seorang lelaki termasuk pegawai bank, broker, pengarah syarikat dan orang awam, Selasa lalu.

“Suspek dipercayai bertindak memastikan akaun perbankan palsu itu dapat dibuka agar pembeli yakin bahawa urusan jual beli tanah berkenaan adalah sahih,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini SPRM sudah merakam percakapan 16 individu termasuk seorang pegawai kanan dan dua kakitangan FELDA selain syarikat pemaju sejak Isnin lalu.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek kesembilan berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *