Harga Barangan Tidak Akan Meningkat Berganda Dengan Penyasaran Subsidi Diesel

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR : Langkah penyasaran subsidi diesel oleh kerajaan tidak boleh dijadikan alasan untuk peniaga menaikkan harga barangan berlipat ganda.

Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School Prof Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, harga diesel terbaru iaitu RM3.35 seliter adalah mengikut harga pasaran yang diluluskan oleh kerajaan.

Katanya, malah harga baru itu juga dilaksanakan sewaktu harga minyak mentah dunia dikira rendah iaitu sekitar AS$75 setong (kira-kira RM353.84).

“Oleh itu, harga barangan sepatutnya tidaklah naik berganda kerana kerajaan memberikan subsidi kepada syarikat logistik dan pengangkutan yang terbabit.

“Ini bertujuan meminimumkan kenaikan harga barangan terutamanya barangan keperluan.

“Namun begitu, sudah pasti akan ada peniaga yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan sebagai alasan peningkatan kos pengangkutan yang menyeluruh.

“Jadi, pemantauan ketat oleh agensi kerajaan harus dilaksanakan dan mereka perlu turun padang untuk memastikan kenaikan kos sara hidup tidak melarat,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, harga diesel terbaru RM3.35 seliter itu juga masih lagi antara terendah berbanding negara lain di Asia Tenggara, kecuali Brunei Darussalam.

Beliau berkata, harga yang lebih tinggi di negara lain mungkin disebabkan pelbagai faktor, antaranya seperti cukai tambahan daripada kerajaan, kos logistik serta faktor mata wang yang unik bergantung kepada negara masing-masing.

“Justeru, aktiviti penyeludupan diesel ke negara jiran akan menjadi amat berkurangan kerana jurang harga diesel Malaysia dan negara jiran tidak lagi terlalu jauh seperti sebelum ini,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, jangkaan kadar inflasi oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk 2024 akan berada pada julat 2.0 ke 3.5 peratus, terutama kesan daripada pelaksanaan subsidi bersasar oleh kerajaan dalam menstrukturkan semula subsidi pukal negara.

Bagaimanapun, katanya, kebaikan utama penyasaran subsidi bagi jangka pendek adalah kepada kerajaan, iaitu dapat menstruktur semula ekonomi negara daripada perbelanjaan subsidi yang tinggi serta dapat meringankan beban kewangan dan menurunkan hutang negara.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *