Harga Diesel RM3.35 Seliter Mulai Tengah Malam Ini

PUTRAJAYA : Harga diesel di semua stesen runcit di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter mulai 12 tengah malam ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, dengan mekanisme bantuan bersasar yang tersedia, kerajaan kini sudah bersedia untuk melaraskan harga diesel bagi semua negeri di seluruh Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, bermula pada tengah malam hari Isnin ini, harga diesel di semua stesen runcit petrol di Semenanjung Malaysia akan ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Automatic Pricing Mechanism (APM).

“Untuk tempoh seterusnya, harga diesel semasa akan diumumkan pada setiap minggu, mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan.

“Namun, Kerajaan akan terus memantau keadaan semasa bagi mengelakkan ketidakstabilan harga,” katanya pada sidang media Penyasaran Subsidi Diesel Kompleks Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.

Amir Hamzah berkata, dengan penetapan harga dan pelaksanaan subsidi bersasar ini, kerajaan menjangkakan pengurangan serta-merta kerugian daripada aktiviti ketirisan yang boleh membawa kepada penjimatan sebanyak RM4 billion setahun.

“Penjimatan yang diperoleh kerajaan daripada langkah penting ini akan memastikan terdapat lebih banyak sumber untuk disalurkan ke dalam sektor kritikal lain yang secara langsung akan meningkatkan kualiti hidup rakyat, termasuk infrastruktur awam, penjagaan kesihatan dan pendidikan untuk anak-anak kita.

“Sekali lagi, saya ingin mengingatkan rakyat Malaysia yang layak untuk memohon bantuan tunai Budi Madani,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang memohon pada Jun akan layak menerima bantuan tunai untuk Jun dan seterusnya.

Sementara, mereka yang terlepas membuat permohonan pada Jun akan layak menerima bantuan tunai untuk bulan permohonan dan seterusnya.

“Saya ingin tegaskan bahawa apa yang dilakukan kerajaan hari ini adalah menyasarkan semula subsidi untuk golongan yang benar-benar layak sahaja.

“Kita mahu menghentikan ketirisan yang amat merugikan rakyat dan negara.

“Tahun demi tahun, kita menampung kerugian besar dan ini boleh merencat kemakmuran yang sepatutnya menjadi milik kita,” katanya.

Amir Hamzah berkata, ini adalah satu keputusan kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *