Masalah Dihadapi Sabah FC Tidak Seteruk Seperti Digambarkan

Skuad Sang Badak berjaya menduduki tempat ketiga Kejohanan Antarabangsa RCTI Premium Sports di Jakarta.

KOTA KINABALU : Masalah dihadapi Sabah FC tidak seteruk seperti digambarkan segelintir pengamal media sosial yang mengaitkan pasukan berkenaan dengan isu pembayaran gaji pemain.

Pengurus Besar Sabah FC, Mohd Joh Wid berkata, khabar angin yang digembar-gemburkan sejak kebelakangan ini lebih kepada ‘serkap jarang’ atau menuduh sembarangan.

Katanya, beliau tidak mahu menjawab isu berkenaan kerana ia bakal mengundang polemik baharu yang akan memanjangkan lagi perdebatan di media sosial hingga menjejaskan tumpuan terhadap usaha memantapkan pasukan.

Beliau juga menjelaskan bahawa penyebaran khabar angin seperti itu mempunyai motif lain untuk mengganggu emosi pemain dan melemahkan pasukan dalam menghadapi saingan musim ini.

“Saya tidak akan menjawab tuduhan mengenai perkara ini (masalah pembayaran gaji) kerana ia akan memanjangkan lagi isu, bukannya meredakan apa yang dibangkitkan itu.

“Apa yang saya boleh katakan, gaji pemain akan tetap dibayar dan saya mahu sebut situasi Sabah FC ketika ini tidak seteruk seperti apa yang dicakap (digambarkan) di media sosial itu.

“Saya tidak mahu akan timbul lagi polemik lain jika saya menjawab perkara itu,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas sejauh mana kebenaran masalah pembayaran gaji pemain Sabah FC seperti disebarkan di media sosial yang antara lain menyebut bayaran pemain tertunggak hingga empat bulan.

Mohd Joh yang baru dilantik sebagai Pengurus Besar Sabah FC, berkata isu tunggakan gaji pemain sudah dijelaskannya pada perjumpaan bersama media sebelum bermulanya saingan liga musim ini pada 26 April lalu.

Sementara itu, Mohd Joh berkata tumpuan kini seharusnya diberikan kepada usaha untuk membantu skuad Sang Badak melakar kejayaan dalam setiap perlawanan yang dihadapi.

Katanya, Sabah FC juga memerlukan bantuan media untuk membuat laporan yang positif berhubung perjalanan pasukan berbanding melaporkan perkara yang tidak sahih atau berupa tuduhan.

Beliau berkata, sokongan moral peminat bola sepak juga amat diperlukan untuk menaikkan motivasi pemain agar dapat memberikan persembahan yang mantap setiap kali perlawanan.

Ketika ini, Sabah FC berada di tangga ketiga carta Liga Super 2024/2025 selepas mengumpul tujuh mata menerusi dua kemenangan dan satu perlawanan berakhir dengan keputusan seri.

Kelmarin, skuad Sang Badak itu juga berjaya menduduki tempat ketiga Kejohanan Antarabangsa RCTI Premium Sports di Jakarta selepas menewaskan PSIS Semarang dari Indonesia.

Kejohanan itu turut disertai Selangor FC yang berjaya merangkul juara selepas menewaskan Persija Jakarta pada perlawanan akhir.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik đŸ‘‰ https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *