Penduduk Bergelut Tangkap Buaya Tembaga 200KG Di Pulau Gaya

Buaya tembaga yang berjaya ditangkap penduduk Kampung Lok Baru, Pulau Gaya, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU : Penduduk Kampung Lok Baru, Pulau Gaya di sini, terpaksa bergelut hampir satu jam untuk menangkap buaya tembaga yang cuba menyerang kanak-kanak di kampung tersebut.

Reptilia berukuran kira-kira 3.6 meter dengan anggaran berat kira-kira 200 kilogram itu akhirnya berjaya ditangkap kira-kira jam 3.30 petang Rabu sebelum diserahkan kepada pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu.

Pegawai Bencana Operasi APM Kota Kinabalu, Ezra Gandui Daniel berkata, pihaknya menerima panggilan daripada penduduk kampung untuk mendapatkan bantuan membawa buaya itu untuk diserah kepada pihak Jabatan Hidupan Liar (JHL).

Buaya diikat selepas berjaya ditangkap oleh penduduk sebelum diserahkan kepada pihak APM untuk proses memindahkan haiwan itu ke Kota Kinabalu.

“Proses menangkap buaya dilakukan oleh penduduk Kampung Lok Baru selepas haiwan itu dikatakan cuba menyerang kanak-kanak di kampung tersebut.

“Penduduk kampung berjaya menangkap buaya tersebut selepas hampir sejam. Buaya itu kemudian diikat oleh penduduk kampung sebelum dipindahkan ke dalam bot APM,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Katanya lagi, proses memindahkan buaya dari Pulau Gaya ke Menara Penyelamat Pantai (MPP) Tanjung Aru mengambil masa kira-kira satu jam.

Proses memindahkan buaya dari Pulau Gaya ke Kota Kinabalu oleh pihak APM sebelum diserahkan kepada JHL.

“Buaya dengan anggaran berat 200kg itu dibawa menaiki bot untuk menyeberang ke Kota Kinabalu dan telah berjaya diserahkan kepada JHL sekitar jam 8 malam,” katanya.

Ezra dalam pada itu turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan peka terhadap kawasan sekeliling sama ada di darat atau laut berhubung kehadiran haiwan berbahaya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *