Lelaki Warga Tempatan Curi Beg Jemaah Masjid Diberkas

Suspek berjaya ditahan di sebuah bilik bangunan kedai sekitar bandar Tawau.

TAWAU: Seorang lelaki berjaya ditahan selepas disyaki melarikan beg tangan milik jemaah yang sedang menunaikan solat subuh di sebuah majlis di sekitar daerah ini, semalam.

Suspek warga tempatan berusia 28 tahun ditahan polis selepas mangsa membuat laporan polis kehilangan dokumen penting termasuk wang tunai dalam beg yang dibawanya ke masjid berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kes kecurian daripada mangsa, sebelum sepasukan anggota digerakkan mencari suspek.

Antara barang-barang milik mangsa yang dilarikan suspek ketika berada di masjid.

Katanya, siasatan mendapati ketika kejadian mangsa sedang menunaikan solat subuh dan beg tangan miliknya yang diletakkan di hadapan diambil oleh lelaki tidak dikenali.

“Menyedari perbuatan suspek, mangsa bertindak mengejar namun suspek berjaya melarikan diri sebelum tampil membuat laporan polis di Balai Polis Tawau.

“Antara barang yang ada di dalam beg mangsa iaitu pasport, kad bank, lesen memandu, kunci kenderaan, telefon bimbit dan wang tunai,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, selepas beberapa jam polis menerima laporan, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau akhirnya berjaya mengesan dan memberkas suspek.

“Suspek ditahan di sebuah bilik bangunan kedai sekitar bandar Tawau, kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

“Hasil siasatan awal suspek mendedahkan lokasi barang yang dicuri termasuk sebuah beg silang milik mangsa yang ditinggalkan di dalam kawasan longkang berhampiran lokasi masjid berkenaan,” katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut, suspek mempunyai 17 rekod jenayah lampau berkait 11 rekod kesalahan jenayah dan empat membabitkan kesalahan narkotik.

“Perintah reman akan dimohon di Mahkamah Tawau untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *