BEAUFORT: Tindakan seorang lelaki membakar sebuah kereta milik individu yang dipercayai ada hubungan dengan isterinya membawa padah selepas ditahan polis di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Ismail Abdullah berkata, hasil siasatan mendapati suspek berumur dalam lingkungan 30-an terbabit dikatakan datang ke rumah mangsa di Membakut.
Katanya, suspek kemudian dilihat membuka pintu hadapan kereta mangsa dan membaling sesuatu ke dalam kereta mangsa yang dipercayai dengan niat untuk membakar, lalu bergegas meninggalkan lokasi.
“Kelibat suspek dan perbuatannya itu bagaimanapun dilihat abang ipar mangsa yang memeriksa kenderaan itu sebelum mendapati bahagian dalam kereta mangsa terbakar.
“Hasil pemeriksaan pada kereta mangsa didapati bahagian kerusi hadapan sebelah pemandu, tali pinggang, stering, dashboard dan lapis bumbung terbakar,” katanya.
Menurutnya, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM20,000 akibat kejadian itu.
“Bertindak dengan laporan yang diterima, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Khas (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort menahan suspek di Sipitang, pada 6.30 petang Sabtu.
“Berdasarkan temubual awal, suspek mengaku membakar dan menyembur kereta mangsa menggunakan cat hitam.
“Perbuatan itu dilakukan disebabkan suspek cemburu dan dendam kerana mendakwa mangsa ada hubungan dengan isteri suspek,” katanya.
Ismail berkata, suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 21 April depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost