Guru KV Keningau Finalis Cambridge Dedicated Teacher Awards 2024

KENINGAU : Daripada 14, 800 pencalonan yang dihantar dari 141 buah negara, guru Bahasa Inggeris Kolej Vokasional Keningau iaitu Sydney Engelbert Ganggang telah disenaraipendekkan sebagai salah seorang 90 calon dari seluruh dunia untuk anugerah berprestij guru iaitu Cambridge Dedicated Teacher Awards.

Penganjur pertandingan itu, Cambridge University Press, mengumumkannya senarai iaitu secara rasmi pada 3 April 2024 di laman sesawang anugerah itu yang boleh diakses melalui https://www.calameo.com/cupeducation/books/006433997ce5452b2e398

Sydney Engelbert dipilih berdasarkan sumbangannya dalam bidang pendidikan. Dia telah membantu merintis program pengantarabangsaan melalui dunia maya dengan sekolah-sekolah di rantau Asia Tenggara.

Dalam usaha untuk memperkayakan pengalaman pembelajaran para pelajarnya, dia berjaya mengasas program kelas pertukaran dalam talian pada tahun 2022 dengan beberapa sekolah vokasional di Filipina, Kemboja, dan Indonesia.

Program tersebut yang mengambil masa selama tiga bulan setiap tahun melibatkan 112 pelajar dari empat negara dengan 45 orang pelajar daripada Kolej Vokasional Keningau sahaja pada tahun pertama ianya dilancarkan.

Pada tahun 2023, bilangan itu meningkat kepada 252 pelajar dengan 70 daripadanya dari sekolahnya.

Program ini telah membolehkan pelajar-pelajar ini meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris, kemahiran berkomunikasi, kefahaman budaya, dan membolehkan mereka mempelajari topik-topik baharu.

Malah, salah seorang pelajar dari program ini telah mengambil ilham dari projek pertukaran ini apabila berjaya mengetuai kelas induk dalam talian secara bersiri bersama guru-guru dari luar negara terutamanya dari Eropah dan Afrika.

Sydney meluahkan rasa bersyukur kerana tersenarai pendek bagi anugerah ini yang dia anggap sebagai pembakar semangat untuk terus berjuang demi kualiti pendidikan anak-anak muridnya.

Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Nordin bin Akup, mengucapkan tahniah kepada guru ini dan mendoakan kejayaan dia agar berjaya mara ke peringkat seterusnya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *