Lelaki Cedera Kenderaan Terbabas Masuk Parit Di Kudat

Keadaan kenderaan mangsa selepas terbabas ke dalam parit.

KUDAT: Seorang lelaki mengalami kecederaan selepas kenderaan dinaikinya terbabas masuk ke dalam parit di Jalan Tamalang di sini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata kejadian jam 11.25 membabitkan sebuah kenderaan jenis kompak.

Katanya sepasukan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat bergegas ke lokasi sejauh 13 kilometer bagi menjalankan operasi menyelamat.

“Kemalangan membabitkan sebuah kereta yang terbabas sendiri sebelum terjunam ke dalam parit. 

“Terdapat seorang mangsa berumur 42 tahun terlibat berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan Bomba tiba dilokasi,” katanya.

Beliau berkata mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Kudat menggunakan ambulan bagi mendapatkan rawatan lanjut. 

“Pasukan Bomba bertindak menjalankan pemeriksaan di sekitar kawasan kemalangan bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum menamatkan keseluruhan operasi pada jam 12.15 tengah hari,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *