Penunggang Motosikal Cedera Langgar Treler Di Penampang

Pasukan perubatan memberikan rawatan awal kepada mangsa di lokasi kejadian.

PENAMPANG: Seorang penunggang motosikal mengalami kecederaan selepas melanggar sebuah treler yang diletakkan di bahu jalan di Jalan Kivatu, di sini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, kejadian jam 12.01 tengah malam itu membabitkan mangsa lelaki warga tempatan berumur lingkungan 20 tahun.

“Hasil siasatan awal mendapati motosikal dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Jalan Tambunan menuju ke Jalan Penampang.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa melanggar sebuah treler yang diletakkan di bahu Jalan Kivatu, di sini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Beliau berkata, pelanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal cedera di bahagian kepala dan kaki.

Katanya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

Sehubungan itu, Sammy berkata pihaknya meminta saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan. 

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *