Budak 10 Tahun Antara Empat Warga Asing Ditahan Disyaki Dalang Kes Samun

Antara barang dirampas polis susulan penangkapan empat suspek di sekitar Kota Kinabalu. – Foto ihsan PDRM

KOTA KINABALU: Empat lelaki warga asing, termasuk seorang kanak-kanak berusia 10 tahun, diberkas dalam operasi Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah, kerana disyaki menjadi dalang kes samun di sekitar bandar raya ini.

Suspek berusia antara 10 hingga 28 tahun itu ditahan dalam serbuan di Jalan Labuk, Segama, serta Jalan Tugu, Kampung Air, di sini, pada Sabtu dan Ahad lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata kesemua suspek terbabit juga didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pada 30 Disember 2023, polis dimaklumkan mengenai kejadian samun seorang warga China oleh dua lelaki di Jalan Gaya, di sini, sehingga menyebabkan mangsa kehilangan wang tunai dan beberapa barang berharga.

“Susulan itu, pegawai dan anggota D9 JSJ Kontinjen Sabah menjalankan siasatan sebelum berjaya menahan dua lelaki di tepi bangunan di Jalan Labuk, Segama, di sini, pada 13 Januari lalu.

“Hasil penangkapan dua suspek itu, polis merampas beberapa barang disyaki hasil kegiatan samun. Turut dirampas ialah dua bilah pisau, pemutar skru dan tukul dipercayai digunakan oleh suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Seterusnya hasil risikan dan pemantauan berterusan oleh pasukan polis, Jauteh berkata, polis berjaya memberkas dua lagi lelaki termasuk seorang kanak-kanak berusia 10 tahun disyaki terbabit kes samun di sekitar bandar raya ini.

“Kedua-dua suspek yang beralamat di Pulau Gaya itu ditahan dalam serbuan di Jalan Tugu, Kampung Air, jam 5.20 petang 14 Januari lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, dengan penahanan empat suspek itu, pihaknya percaya berjaya menyelesaikan beberapa kes samun di kawasan tumpuan pelancong sekitar bandar raya ini.

Mengulas kebimbangan masyarakat susulan kejadian samun terutama di kawasan tumpuan pelancong pula, Jauteh berkata, pihaknya akan terus menjalankan operasi mencegah jenayah dan siasatan sehingga penjenayah terbabit ditangkap.

“Operasi bersepadu dijalankan berterusan dengan membabitkan pegawai dan anggota dari pelbagai unit, di kawasan ‘hotspot’, khususnya di kawasan tumpuan pelancong di sekitar bandar raya ini.

“Ia termasuk melakukan pendekatan ‘walkabout’ bersepadu yang bertujuan mendekati masyarakat, sekali gus menunjukkan kehadiran polis bagi mencegah jenayah,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *