Pelajar Berkeperluan Khas Sabah Terima Pengiktirafan Atas Pencapaian Sukan

KENINGAU : Victer Ben Salleh, 17, pelajar berkeperluan khas Kolej Vokasional Keningau, telah menerima sijil kehormat pelajar SENIA daripada persatuan kebangsaan pendidikan khas iaitu Special Education Network & Inclusion Association ataupun SENIA pada November 2023 atas pencapaiannya dalam bidang sukan padang melalui kejohanan sekolah perdana dan pendidikan khas di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan pada tahun 2022 dan 2023. Dia adalah atlet acara lontaran iaitu lontar peluru, lempar cakera dan rejam lembing.

Di peringkat kebangsaan, dia telah memenangi pingat emas, perak dan gangsa dalam acara rejam lembing, lontar peluru dan lempar cakera di Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia (MSSM) yang bertempat di Kuala Lumpur pada tahun 2022.

Pada tahun 2023, dia telah merangkul pingat perak dan gangsa di Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas MSSM yang berlangsung di Negeri Sembilan dalam acara lontar peluru dan rejam lembing dan mendapat tempat ke-empat dalam kategori lempar cakera.

Manakala di peringkat negeri, dia berjaya meraih tiga pingat emas dalam ketiga-tiga acara lontaran di kejohanan olahraga pendidikan khas Majlis Sukan Sekolah Sekolah Sabah (MSSS) pada tahun 2022 dan 2023 yang dianjurkan di Penampang dan keningau.

Dalam kejohanan olahraga sekolah perdana peringkat negeri Sabah, dia berjaya memenangi tempat pertama dalam acara lontar peluru pada tahun 2023.

Dia telah menerima anugerah olahragawan terbaik kejohanan perdana dan pendidikan khas di peringkat daerah pada tahun 2023 kerana berjaya melakar rekod baru dalam acara lontaran serta berjaya memenangi pingat dalam setiap acara yang disertainya.

Vikter Ben meluahkan rasa gembira dengan pencapaiannya itu kerana ianya membuka peluang kepada pelajar-pelajar berkeperluan khas untuk memberi yang terbaik dalam acara sukan yang mereka ceburi dan minati.

Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Nordin Bin Akup, berasa bangga dengan kejayaan pelajar ini dan memberi kredit kepada usaha guru-guru pendidikan khas serta jurulatih sukan kolej tersebut yang gigih memberi sokongan dan bimbingan kepada pelajar-pelajar berkeperluan khas agar mereka dapat bersaing dengan sihat dan bersemangat dalam acara sukan olahraga mahupun aktiviti-aktiviti lain.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *