Berakhirnya Tuntutan Kumpulan Sulu

Datuk Seri Azalina Othman Said

CUBAAN kumpulan Sulu menggunakan mahkamah antarabangsa untuk merampas aset syarikat minyak Malaysia, Petronas di Luxembourg dan Belanda serta aset diplomatik negara di Perancis termasuk bangunan kedutaan akhirnya gagal.

Ini selepas Mahkamah Perancis membatalkan perintah bagi gadai janji berkanun yang dibuat terhadap bangunan diplomatik Malaysia di Paris oleh penuntut warga Filipina (Sulu) pada 6 November lepas.

Berita gembira itu disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said sewaktu di London baru-baru ini.

Beliau dan delegasi Malaysia telah ke sana untuk berjumpa dengan peguam-peguam lantikan kerajaan Malaysia dalam menangani tuntutan berkenaan, seterusnya menyangkal taktik dan hujahan mereka secara komprehensif dalam fasa ketiga tuntutan lapan individu yang mengaku sebagai waris Kesultanan Sulu.

Keputusan Mahkamah Perancis itu sekali gus dapat mematikan tuduhan sesetengah pihak yang mendakwa kerajaan Malaysia gagal bertindak menyelesaikan isu berkenaan.

Ini turut membuktikan bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara yang boleh diperkotak-katikkan.

Keputusan pada 6 dan 9 November itu berjaya membebaskan kerajaan daripada cubaan tidak sah oleh warganegara Filipina itu untuk merampas kesemua aset diplomatik Malaysia di Perancis.

Malah penimbang tara Sepanyol, Dr Gonzalo Stampa, juga akan dibicarakan di Mahkamah Madrid pada 11 Disember ini atas dua kes jenayah berkaitan award akhir kepada kumpulan Sulu berkenaan.

Jika didapati bersalah, Stampa boleh dikenakan hukuman penjara dan denda oleh mahkamah tersebut.

Difahamkan tarikh pendengaran itu ditetapkan berikutan permohonan agresif dan berterusan oleh kerajaan Malaysia.

Dengan itu, Malaysia telah berjaya melindungi kepentingannya di seluruh dunia, termasuk di Perancis iaitu apa yang dipanggil anugerah akhir sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) yang telah diberikan oleh Stampa.

Azalina pada Jun lalu mendedahkan kerajaan mengesyaki kumpulan Sulu yang membuat tuntutan terhadap Malaysia melalui proses timbang tara memperoleh dana daripada ‘dalang’ terdiri pelabur dari Amerika Syarikat (AS) selain tuntutan itu adalah bermotifkan wang.

Sementara itu Azalina berkata, kerajaan yakin bahawa pembatalan muktamad award akhir itu oleh Mahkamah Rayuan Paris hanyalah menunggu masa, dan kerajaan sedang berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan keputusan itu secepat mungkin.

Malaysia telah menggunakan semua remedi undang-undang bagi membatalkan anugerah yang diberikan oleh Stampa kepada pihak yang menuntut di mahkamah di Sepanyol, Perancis, Luxembourg, dan Belanda.

Ia juga rentetan keputusan Mahkamah Rayuan The Hague pada 27 Jun, yang menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan award terakhir di negara terbabit.

Pada 2019, kumpulan itu telah mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan bagi tanah di Sabah, yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Pada Julai lalu, Petronas telah menerima perintah untuk merampas dua unit miliknya di Luxembourg, ketika waris Sulu tersebut berusaha menguatkuasakan pelaksanaan award timbang tara itu.

Malaysia berhenti membuat pembayaran kepada waris Sulu selepas sekumpulan 200 anggota bersenjata yang dikenali sebagai Tentera Diraja Sulu telah menceroboh masuk ke daerah Lahad Datu di Sabah dari Filipina, dalam usaha untuk mengambil alih negeri itu pada 11 Februari 2013.

Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, menyatakan pencerobohan berkenaan adalah punca mengapa pembayaran tersebut dihentikan.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *