Lelaki Hilang Di Hutan Ditemukan Meninggal Dunia

Mayat mangsa ditemui di kawasan hutan Mosung, Kampung Monsok Tengah, Tambunan, kira-kira tiga kilometer dari PKTK

TAMBUNAN : Lelaki yang dilapor hilang selepas masuk ke dalam hutan Mosung di Kampung Monsok Tengah, di sini, bagi menjerat haiwan sejak dua hari lalu ditemukan meninggal dunia, hari ini.

Kehilangan mangsa Felix Joseph, 40, sebelum itu disedari oleh abangnya apabila hanya menemui motosikal milik adiknya dalam hutan terbabit kira-kira 9 pagi, 17 November lalu.

Usaha pencarian di sekitar kawasan terakhir mangsa dilaporkan hilang dilakukan oleh penduduk kampung, namun gagal menemui lelaki itu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 10.45 malam semalam.

Katanya, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan digerakkan ke lokasi bersama pasukan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Rela dan penduduk kampung.

“Pasukan bomba kemudian melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR), namun gagal menemui mangsa sebelum operasi ditangguh dan disambung pagi ini.

“Operasi SAR yang bermula 9.35 pagi tadi berjaya menemui mangsa pada 10.28 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Menurutnya, mangsa ditemukan meninggal dunia di hutan itu kira-kira tiga kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

“Pasukan penyelamat kemudian mengangkat dan membawa keluar mangsa dari hutan ke PKTK sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *