Pelajar Kolej Vokasional Keningau Johan KV Skills Kebangsaan Kategori Masakan

KENINGAU : Ivory Ivy Corvet Hadzlin, 17, pelajar jurusan seni kulinari Kolej Vokasional Keningau, telah berjaya menjuarai pertandingan KV Skills peringkat kebangsaan tahun 2023 dalam kategori masakan yang bertempat di Kolej Vokasional Seri Iskandar, Perak, dari 13 sehingga 18 Oktober 2023.

Pertandingan anjuran Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV) Kementerian Pendidikan dibahagikan kepada 21 kategori yang menguji kemahiran pelajar-pelajar Kolej Vokasional yang telah memenangi peringkat zon negeri masing-masing dalam bidang yang mereka telah pelajari.

Kontijen Sabah telah memenangi tempat ketiga dalam tiga kategori, naib johan dalam satu kategori dan Ivory Ivy merupakan satu-satunya pelajar Sabah yang berjaya merangkul gelaran johan dalam kategori yang disertainya.

Ivory Ivy berjaya mewakili zon Sabah/Wilayah Persekutuan Labuan dalam kategori memasak apabila dia diumumkan sebagai juara bagi kategori tersebut semasa pertandingan peringkat zon yang berlangsung pada 14 sehingga 16 Julai 2023.

Untuk peringkat kebangsaan, dia dibantu oleh rakan sekelasnya, Reisha Qistina Rosli, sebagaimana yang disyaratkan oleh pertandingan itu.

Seramai 10 pemenang zon negeri yang bersaing dalam kategori memasak di peringkat kebangsaan dimana mereka perlu menyiapkan tujuh cabaran dalam tempoh dua hari. Setiap cabaran tersebut memerlukan mereka menyiapkan hidangan tertentu.

Seramai tiga hakim yang terdiri daripada chef-chef yang terkemuka menilai hasil masakan para peserta ini. Ivori yang mendapat skor tertinggi dipilih sebagai pemenang tempat pertama manakala Ester Prati Mili dari Kolej Vokasional Bintulu dan Alya Hazirah Mohamad Isa dari Kolej Vokasional Dato’ Undang Haji Muhamad Sharip masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Kolej Vokasional Keningau mewakili Zon Sabah/Labuan dalam tiga kategori. Selain dari masakan, dua pelajar kosmetologi Shamsiah Dumandan dan Maylisa Ivyina Telis bertanding dalam kategori terapi kecantikan manakala Alvent Chin Kian Wen dari teknologi automotif bertanding dalam kategori automotif.

Pasukan kolej ini diketuai oleh Amirullah Abdul Karim bersama dengan empat orang guru iaitu Freadoline Fook Liew, Bibiana Paulus, Vienny Balakrishnan dan Nor Ruzaimah Zahari. Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Nordin Bin Akup yang turut hadir bersama semasa majlis penyampaian hadiah, menyatakan rasa bangganya dengan kejayaan pasukan kolej itu.

Dia yakin pencapaian ini mampu memberi motivasi kepada pelajar-pelajar lain untuk sentiasa memperhalusi kemahiran vokasional yang mereka pelajari di program masing-masing.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *