Gara-Gara Syabu, Bakal Pengantin Tak Merasa Naik Pelamin

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin (tengah) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas daripada lelaki bakal pengantin baharu pada Rabu lalu.

TAWAU: Seorang lelaki tidak sempat bergelar ‘raja sehari’ esok apabila ditahan bersama 2.1kg dadah jenis syabu di Jalan Timur di sini pada Rabu.

Dadah bernilai RM120,000 itu ditemui pada lelaki berusia 30 tahun itu dalam serbuan polis sekitar jam 12 tengah hari.

Suspek cuba melarikan diri dengan keretanya tetapi berjaya ditahan polis selepas dikejar beberapa kilometer.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek dalam keadaan curiga dilihat cuba membuat pusingan U dan memecut apabila nampak polis.

“Pemeriksaan awal ke atas suspek menjumpai satu bungkusan plastik di dalamnya mengandungi empat plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

“Pemeriksaan polis dalam kereta terbabit turut menemukan sebuah kotak yang di dalamnya mengandungi dua bungkusan plastik hijau bertulis ‘Guanyinwang’ iaitu bahan hablur jernih mampat disyaki dadah jenis sama (syabu),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, di sini hari ini.

Jasmin berkata, siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah ditangkap mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 pada tahun 2016.

“Polis percaya dadah yang dirampas daripada suspek ini adalah untuk pasaran tempatan dan kita sedang giat menjalankan usaha mengesan rangkaian pengedaran dadah yang terbabit.

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 7 sehingga 14 September depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – BuletinTV3

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *