Agong Lawat ESSCOM, Permaisuri Memasak Untuk Rakyat Di Lahad Datu

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bergambar kenanagan bersama orang ramai ketika singgah di kedai Keropok Lekor pada Kembara Kenali Borneo hari ini.

LAHAD DATU, 4 Sept : Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan melawat Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) di sini bagi meninjau operasi agensi bertanggungjawab menjaga keselamatan di Pantai Timur Sabah itu.

Seri Paduka, yang sedang menjelajah Sabah menerusi program Kembara Kenali Borneo, berangkat tiba di Ibu Pejabat ESSCom di sini pada 4.20 petang disambut Komander ESSCom DCP Victor Sanjos dan Ketua Pegawai Eksekutif ESSCom Dr Jamaluddin Mohd Ali, sebelum diperkenalkan kepada barisan pegawai serta anggota ESSCom.

Keberangkatan tiba Seri Paduka disambut meriah dengan laungan ‘Daulat Tuanku!’ bergema daripada rakyat yang menunggu sejak tengah hari keberangkatan Al-Sultan Abdullah di pekarangan Ibu Pejabat ESSCom di sini.

Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijadual berangkat tiba di Ibu Pejabat ESSCom pada 12 tengah hari tadi namun lewat, lantaran Seri Paduka berdua berkenan beramah mesra dengan rakyat di sepanjang laluan Tawau ke Lahad Datu sejauh 171.7 kilometer.

Namun, keberangkatan tiba Seri Paduka berdua dan rombongan tetap dinanti-nantikan dan masyarakat setempat terus setia menunggu ketibaan Al-Sultan Abdullah, yang mengetuai konvoi 25 kenderaan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *