Sabah Naik Elaun Bulanan Ketua Adat

Hajiji Noor berkata langkah itu akan memberi manfaat kepada 57 ketua daerah, 272 ketua anak negeri, 648 wakil ketua anak negeri, 2,810 ketua kampung dan 176 kapitan di seluruh negeri.

KOTA KINABALU, 27 Ogos : Kerajaan negeri mengumumkan seramai 3,963 pemimpin masyarakat (Ketua Adat) di Sabah akan mendapat purata 48 peratus kenaikan elaun bulanan mulai bulan depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata langkah itu akan memberi manfaat kepada 57 Ketua Daerah, 272 Ketua Anak Negeri, 648 Wakil Ketua Anak Negeri, 2,810 Ketua Kampung dan 176 Kapitan di seluruh  negeri.

Katanya, dengan kenaikan elaun bulanan itu, Ketua  Daerah akan menerima RM3,500 berbanding RM2,700 sebelumnya, Ketua Anak Negeri  RM2,500 (RM1,700), Wakil Ketua Anak Negeri RM1,300 (RM900), Ketua Kampung dan Kapitan RM1,200 (RM700).

“Antara justifikasi kenaikan elaun itu ialah sebagai pengiktirafan kedudukan terhormat Ketua Adat dalam masyarakat. Ini termasuk peranan mereka sebagai hakim di Mahkamah Anak Negeri dan menampung perbelanjaan ketika menghadiri mesyuarat, kursus dan majlis rasmi di luar daerah.

“Kerajaan negeri mengiktiraf peranan penting Ketua Adat sebagai pemimpin di peringkat akar umbi dan kenaikan itu bertujuan meningkatkan motivasi Ketua Adat untuk memberikan perkhidmatan yang penuh integriti kepada masyarakat,” katanya, menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata kenaikkan itu telah lama tertunggak dengan semakan yang terakhir dilakukan pada tahun 2013, yang mana elaun itu kekal tidak berubah manakala kos sara hidup meningkat.

Hajiji berkata ia adalah bukti komitmen kerajaan untuk memenuhi keperluan semua pihak dalam memberikan perkhidmatan yang berkualiti, selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *