Penjawat Awam Wajib Pakai Batik Setiap Khamis

Selain Khamis, penjawat awam turut digalakkan memakai batik pada hari bekerja lain.

PUTRAJAYA: Semua penjawat awam diwajibkan berpakaian batik Malaysia pada setiap Khamis, manakala pemakaian batik pada hari bekerja lain digalakkan.

Peraturan itu berkuat kuasa semalam menerusi surat edaran “Pemakaian Pakaian Batik Malaysia Semasa Waktu Bekerja Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan” yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Zulkapli Mohamed.

Menurut surat edaran itu, ketetapan pemakaian batik itu dikecualikan bagi pegawai dibekalkan pakaian seragam atau menghadiri majlis rasmi dengan ketetapan kod pakaian tertentu.

“Pemakaian batik Malaysia oleh pegawai perkhidmatan awam dilaksanakan sejak 1985.

“Bagi meneruskan sokongan kepada industri batik Malaysia dan memastikan ia kekal sebagai warisan dan lambang identiti rakyat Malaysia, kerajaan bersetuju agar semua pegawai awam diwajibkan memakai pakaian batik Malaysia pada setiap Khamis dan digalakkan pemakaiannya pada hari bekerja lain,” demikian menurut surat edaran itu.

Surat itu yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini, turut diedarkan kepada semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan.

Surat edaran itu turut menyatakan melalui ketetapan baharu itu, Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2021 mengenai Pemakaian Pakaian Batik Malaysia bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan dibatalkan.

Semakan terhadap Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2021 menyatakan pemakaian batik Malaysia pada setiap Khamis digalakkan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *