KENINGAU : Kolej Vokasional Keningau yang diwakili oleh Christine Stanislaus Kinsik, mantan pengarah Kolej Vokasional Keningau, dan Anita Md. Yasin, ketua jabatan hospitaliti, telah mewakili Malaysia di Global Smart Education Conference (GSE2023) yang bertempat di Beijing, China, pada 18 sehingga 20 Ogos 2023, dimana Christine telah dijemput sebagai salah seorang pembicara forum.
Persidangan bersemuka itu merupakan anjuran Beijing Normal University dan UNESCO Institute for Information Technologies in Education.
Sebelum persidangan tersebut, dua orang pendidik ini telah menyertai lawatan penanda aras yang ditaja oleh SEAMEO Regional Centre for Technical Education Development (SEAMEO TED) dan pihak penganjur persidangan ini pada 14 sehingga 17 Ogos 2023.
Tema persidangan ini adalah transformasi pendidikan dan tadbir urus data. Kolej Vokasional Keningau telah terpilih untuk membuat perkongsian semasa sesi transformasi digital dan perkembangan kemahiran belia.
Christine Stanislaus Kinsik yang bertugas sebagai pengarah kolej tersebut sehingga pertengahan bulan Ogos ini telah dijemput sebagai pembicara untuk mewakili Malaysia.
Dia telah membincangkan usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh Kolej Vokasional Keningau dibawah kepimpinannya.
Kolej itu telah berjaya memperluaskan program pengantarabangsaannya yang melibatkan kelas pertukaran budaya selama tiga bulan setiap tahun dengan institut-institut vokasional di Asia Tenggara dan kelas induk yang dikendalikan oleh guru-guru cemerlang dari negara lain.
Program yang dilaksanakan secara dalam talian ini telah mendapat pengiktirafan sebagai amalan terbaik oleh SEAMEO VOCTECH yang berpusat di Brunei.
Selain daripada itu, dia juga telah membentang inisiatif latihan inovasi kolej terbabit yang berjaya mendapat sokongan dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang kemudiannya menaja pembinaan pusat rekacipta yang dikenali sebagai Ruang Daya Cipta (RDC) di kawasan kolej itu dan pusat ini boleh diakses oleh komuniti.
Dia juga telah membentang aktiviti-aktiviti komuniti yang dijalankan oleh guru dan pelajar kolej terbabit.
Christine Stanislaus Kinsik berasa teruja kerana terpilih sebagai pembicara untuk sesi tersebut dan dia menganggap ini sebagai salah satu penghormatan kepada pendidikan kolej vokasional di Malaysia yang diterajui oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
Memandangkan dia telah dilantik sebagai pengarah bagi Kolej Vokasional Sandakan 2 yang baru saja siap dibina, dia bertekad untuk terus mengamal serta menambahbaik usaha-usaha transformasi yang dia telah laksanakan di KV Keningau.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost