Bekas Menteri Tangau Dilantik Pengerusi Sabah Electricity

KOTA KINABALU : Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau dilantik sebagai pengerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) atas saranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pelantikan bekas presiden Upko sebagai pengerusi SESB itu berkuat kuasa pada 16 Jun, lapor Daily Express.

Tangau, 62, menggantikan Abdul Razak Abdul Majid, yang juga pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB).

TNB memiliki 80% daripada SESB, tetapi Sabah akan mengambil alih kuasa kawal selia bekalan elektrik negeri daripada kerajaan persekutuan tidak lama lagi.

Pada 12 Jun, Bernama melaporkan DUN Sabah akan mengadakan sidang khas Januari tahun depan bagi memudahkan kerajaan negeri mengambil alih kuasa kawal selia ke atas bekalan elektriknya.

Kerajaan negeri berharap dapat menyiapkan penggubalan dua undang-undang baharu dan pindaan kepada Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023, yang diluluskan Januari lalu, supaya mempunyai kawalan kawal selia penuh ke atas bekalan elektriknya mulai tahun depan.

“Dua rang undang-undang mengenai Enakmen Bekalan Elektrik dan Enakmen Tenaga Boleh Diperbaharui, serta pindaan kepada Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 akan dibentangkan semasa sidang DUN khas pada 3 Jan,” kata pejabat ketua menteri dalam kenyataan.

Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, berkata untuk memenuhi tarikh akhir, penyelarasan dan kerjasama daripada semua pihak berkepentingan adalah penting supaya semua isu, khususnya proses perundangan, dapat diselesaikan.

Tangau adalah menteri sains, teknologi dan inovasi pada 2015 dan bekas timbalan ketua menteri dan menteri pembangunan perindustrian negeri pada 2018.

Beliau berkhidmat sebagai pengerusi beberapa agensi persekutuan dan syarikat berkaitan negeri seperti Lembaga Kebudayaan Sabah (LKNS), Forest Plantation Development Sdn Bhd, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), dan Asian Supply Sdn Bhd.

Beliau juga adalah ahli lembaga pengarah Sabah Energy Corporation Sdn Bhd. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *