Tindakan Tegas Kepada Peniaga, Pegawai Di Sabah Beri Lesen Perniagaan Kepada Warga Asing

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor

TUARAN :  Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang memberikan lesen perniagaan mereka untuk digunakan oleh pihak lain, terutama warga asing di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata tindakan tegas juga akan diambil terhadap pegawai yang terlibat dalam pemberian lesen perniagaan kepada pihak tidak sepatutnya, kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai peraturan yang telah ditetapkan dalam mengeluarkan lesen tersebut.

“PBT ada peraturan, kalau peraturan itu menyatakan demikian kena ikut, kalau mahu berniaga mesti ikut peraturan dan jumpa PBT,” katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah dan penyampaian watikah pelantikan kepada 19 orang Ahli Majlis Daerah Tuaran bagi sesi 2023/2025, di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), akan menarik balik lesen perniagaan penjaja yang memberikan lesen berkenaan kepada pihak lain, termasuk warga asing.

Perdana Menteri berkata pihaknya bersama DBKL sedang merangka kaedah bagi memastikan peraturan tersebut dipatuhi, dalam memastikan ia memberi manfaat kepada peniaga tempatan.

Sementara itu di TAWAU, Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Joseph Pang ketika dihubungi Bernama, berkata pihaknya sentiasa memantau serta menjalankan operasi bersepadu bersama jabatan lain termasuk Jabatan Imigresen ke tapak-tapak penjaja serta premis perniagaan.

Beliau berkata operasi bersepadu itu penting, bagi mengelak berlakunya salah guna lesen perniagaan dan jika terdapat penjaja yang ‘menjual’ lesen kepada warga asing, tindakan segera diambil dengan membatalkan lesen perniagaan pemilik asal berkenaan.

“Jumlah penjaja berdaftar mengikut sistem pelesenan MPT ialah sebanyak 2,613 dan setakat hari ini pihak MPT belum menerima sebarang aduan berhubung kait isu ‘jual’ lesen kepada warga asing,” katanya.

Selain itu Joseph berkata MPT turut bekerjasama rapat dengan Persatuan Penjaja Daerah Tawau, yang bertujuan bagi mendapatkan laporan segera termasuk berhubung jika berlaku ‘penjualan’ lesen kepada warga asing. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *