KENINGAU :Seorang pelajar seni kulinari Kolej Vokasional Keningau, Nur Afiqa Amani, 19, telah diterima permohonannya sebagai delegasi bagi sidang kemuncak belia di Manila, Filipina, pada 27 sehingga 28 Jun 2023 untuk membentang projeknya berkenaan dengan kesihatan mental.
Perjalanan dia menghadiri sidang tersebut akan ditanggung sepenuhnya oleh penganjur iaitu SEAMEO INNOTECH yang merupakan akronim kepada Southeast Asian Ministers of Education Organization (SEAMEO) Regional Center for Educational Innovation and Technology (INNOTECH).
Permilihan projek untuk dibentang di Sidang Kemuncak Belia: Transformasi Pendidikan Asia Tenggara ini adalah sangat sengit dan ianya hanyalah terhad kepada belia di rantau ASEAN sahaja yang melibatkan 10 buah negara.
Penganjur itu memuji keunikan projek yang telah dibangunkan oleh Afiqa Amani sebagai salah satu penyertaan yang menonjol.
Pelajar ini merupakan pembimbing rakan sebaya (PRS) di kolej itu dan dia telah mengetuai pasukan PRS sekolah tersebut melaksanakan projek kesihatan mental yang dinamakan “It’s Okay” untuk membantu para pelajar menangani masalah kemurungan dan kebimbangan yang melampau dengan menggunakan kemahiran sosioemosi.
Melalui projek ini, dia telah berjaya membimbing pasukannya untuk melaksanakan beberapa aktiviti seperti bengkel pembelajaran sosioemosi, terapi origami, pesta tarian dan kembara alam. Dia juga telah mengetuai pasukannya membentang aktiviti-aktiviti ini di tiga persidangan dalam talian.
Menurut pelajar ini, dia berasa sangat gembira terpilih untuk ke Filipina untuk berkongsi berkenaan dengan projek ini kerasa dia merasakan ini merupakan satu bukti bertapa pentingnya bagi sistem pendidikan mengambil serius kesihatan mental dan tahap sosioemosi para pelajar.
Afiqa berhasrat untuk menghapuskan stigma berkenaan dengan kesihatan mental yang membuatkan ramai orang enggan meluahkan tahap kesihatan emosi dan mental mereka kerana mereka khuatir dengan anggapan masyarakat umum.
Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Christine Stanislaus Kinsik, menyatakan rasa bangga dengan keberanian pelajar ini merintis program berkenaan dengan kesihatan mental dan usahanya telah mendapat perhatian organisasi pendidikan berprestij iaitu SEAMEO INNOTECH.
Dia berharap agar projek ini dperkukuhkan lagi dan disebarluaskan ke sekolah-sekolah lain dan masyarakat setempat.
Pautan video yang dihantarnya ke pihak penganjur sebagai penyertaan sesama proses permilihan adalah:
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost