3 Kes Strok Haba Di Sabah

Dr Rose Nani Mudin berkata, orang ramai disaran mengehadkan aktiviti luar, selain banyak minum air kosong bagi mengelakkan dehidrasi.

KOTA KINABALU : Tiga kes strok haba dilaporkan di Sabah dari 15 April hingga Jumaat lalu, kata Pengarah Kesihatan negeri, Dr Rose Nani Mudin.

Beliau berkata, kes pertama membabitkan pelajar lelaki berumur 18 tahun yang dimasukkan ke hospital pada 15 April lalu dan dibenarkan pulang tiga hari kemudian.

Katanya, kes kedua ialah pelajar lelaki berusia sembilan tahun yang dimasukkan ke hospital pada 30 April lalu dan dibenarkan keluar pada 2 Mei.

“Kes ketiga pula ialah wanita berumur 27 tahun yang bekerja sendiri dan menerima rawatan pesakit luar pada 29 April lalu.

“Ketiga-tiga pesakit selesai mendapatkan rawatan dan sembuh sepenuhnya,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, cuaca panas melampau boleh menyebabkan kerap berpeluh dan cecair dalam badan berkurangan, dengan kanak-kanak dan warga tua paling berisiko berdepan masalah kesihatan akibat cuaca panas.

Antara gejala penyakit berkaitan cuaca panas ialah badan terasa kering dan panas, denyutan jantung menjadi cepat, pening dan mual, selain boleh mengakibatkan sawan atau pengsan.

Justeru, beliau menyarankan orang ramai menangguh atau mengehadkan aktiviti lasak seperti berkayak, berbasikal, lari maraton, mendaki gunung dan aktiviti luar yang lain.

“Orang ramai juga disaran memendekkan tempoh aktiviti di luar rumah seperti berkebun atau membersihkan laman rumah atau berehat secara berkala dan minum air kosong yang banyak setiap kali waktu rehat ketika melakukan aktiviti.

“Orang ramai juga digalakkan memakai pakaian ringan, cerah dan longgar bagi mengelak pemerangkapan haba, selain mengelakkan berpakaian warna gelap, tebal dan ketat.

“Mereka juga disaran memakai topi atau payung untuk melindungi diri daripada pancaran haba terus ke badan, selain tidak duduk dalam kenderaan bertutup tanpa pendingin hawa,” katanya yang meminta orang ramai mendapatkan rawatan segera jika mengalami tanda-tanda awal kelesuan dan strok haba.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *