Ketua UMNO Bahagian Tawau Nafi Dakwaan Rogol Rakan Baik Isteri

Ghazalie ketika sidang medianya menafikan tuduhan yang dilemparkan isterinya seperti yang tular di media sosial.

KOTA KINABALU : Satu laporan polis dibuat oleh Ketua Bahagian UMNO Tawau, Ghazalie Ansing berhubung beberapa dakwaan terhadapnya termasuk tuduhan merogol rakan baik isterinya yang disiarkan dalam sebuah blog sejak Isnin.

Beliau berkata, laporan polis itu bertujuan untuk membersihkan nama baik dan reputasinya sebagai ahli politik daripada tuduhan berbentuk fitnah membabitkan masalah rumah tangga yang dihadapinya.

Menurutnya, dakwaan itu hanya disedarinya selepas menerima satu pautan daripada rakannya berhubung sebuah blog.

“Di dalam pautan blog itu terdapat dua gambar iaitu isteri saya bersama rakannya dan gambar saya bersama isteri di mana artikel itu menyatakan telah menerima maklumat bahawa saya mempunyai krisis dengan isteri kerana tabiat judi dan seterusnya saya sebagai Ketua UMNO Bahagian Tawau telah merogol pembantu rumah, mempunyai pusat hiburan dan menggelarkan saya sebagai kaki ‘pau’.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya kenyataan yang tular dan tuduhan yang dilemparkan oleh isteri saya dan sahabatnya.

Ghazalie menunjukkan laporan polis yang dibuat Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu.

“Laporan polis tuduhan merogol ini dibuat bagi menafikan dakwaan itu kerana video kenyataan mengenainya baru juga tular dan tuduhan ini amat dahsyat,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Selasa.

Ditanya mengenai ada dakwaan bahawa beliau dilindungi oleh pihak berkuasa, Ghazalie sekali lagi menafikan perkara itu.

“Saya juga rakyat biasa. Bila kita menghadapi masalah, yang terlintas di fikiran adalah datang ke balai polis terdekat untuk membuat laporan dan mohon bantuan.

“Dakwaan bahawa saya mengawal pihak berkuasa adalah tidak benar. Saya bukan sesiapa dan saya tiada ahli keluarga anggota polis pun,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut meminta pihak lain juga tidak mempolitikkan masalah rumah tangga yang dihadapinya.Sehubungan itu, beliau akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung perkara itu sebelum tindakan seterusnya diambil. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *