Guru Sabah Lima Finalis Terbaik Anugerah Inovasi GoAbroad

KENINGAU : Pasukan guru Kolej Vokasional Keningau yang terdiri daripada empat orang guru iaitu Puan Shamsiah Jaafar, Encik Azlan Lakunsim, Puan Winnie Ahoi dan Dr. Sirhajwan Idek telah berjaya melayakkan diri sebagai lima finalis terbaik bagi anugerah inovasi GoAbroad 2023 dalam kategori “Innovation in Sustainability”.

Pertandingan inovasi anjuran GoAbroad.Com yang berpangkal di Amerika Syarikat ini diadakan setiap tahun.

Pautan pengumuman finalis bagi setiap kategori boleh diakses melalui: https://blog.goabroad.com/innovation-awards-2023/

Pasukan ini telah melaksanakan projek berkaitan dengan kesihatan mental di kalangan pelajar dan guru yang dinamakan “It’s Okay” dengan menggunakan kemahiran sosioemosi.

Melalui projek ini, mereka telah melaksanakan bengkel untuk guru-guru dan pembimbing rakan sebaya berkenaan dengan strategi-strategi tertentu. Mereka juga telah melaksanakan intervensi untuk para pelajar.

Selain itu, mereka juga telah menganjurkan minggu kesihatan mental pelajar dimana para pelajar boleh menyertai beberapa aktiviti seperti terapi origami, pesta tarian dan kembara alam.

Aktiviti-aktiviti ini difahamkan melalui kajian lepas boleh membantu menenangkan fikiran dan mengurangkan rasa tertekan dan kerisauan.

Projek ini telah dibentang di persidangan dalam talian dan bersemuka beberapa kali oleh guru-guru ini serta para pembimbing rakan sebaya.

Projek ini dilaksanakan selepas kajian tinjauan dikalangan pelajar menunjukkan ramai pelajar berhadapan dengan risiko kesihatan mental.

Puan Shamsiah Jaafar yang mengetuai projek ini berkata dia dan pasukannya makin bersemangat untuk meneroka lebih banyak strategi yang boleh menangani isu-isu berkaitan dengan kesihatan mental selepas menerima pengikitirafan sebagai finalis bagi anugerah inovasi global ini.

Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Puan Christine Stanislaus Kinsik, menyokong penuh perlaksanaan projek ini untuk meningkatkan kesedaran warga kolej agar memberi perhatian serius kepada kesihatan mental dan kawalan emosi.

Dia berharap agar projek ini dilaksanakan secara konsisten dan ditambahbaik dari masa ke semasa.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *