Adun Kuamut Cadang Sabah Miliki Syarikat Penerbangan Sendiri

Adun Kuamut Masiung Banah akan mencadangkan kerajaan Sabah menubuhkan syarikat penerbangan sendiri demi manfaat rakyat negeri itu.

KOTA KINABALU : Adun Kuamut Masiung Banah akan membawa cadangan supaya kerajaan Sabah menubuhkan syarikat penerbangan sendiri pada sidang Dewan Undangan Negeri, bermula 23 Mei.

Beliau berkata, syarikat penerbangan Sabah perlu ditubuhkan supaya rakyat negeri ini mendapat manfaat, selain mendakwa rakyat Sabah termasuk Sarawak sering dijadikan “mangsa buli” berkait tambang penerbangan apabila tiba musim perayaan.

“Aero penerbangan Sabah perlu diwujudkan supaya rakyat Sabah mendapat manfaat selain menyumbang kepada pembangunan domestik.

“Rakyat Sabah dan Sarawak selalu dijadikan ‘mangsa buli’ syarikat penerbangan nasional sedia ada apabila tiba musim perayaan.

“Syarikat penerbangan sekarang akan mengambil kesempatan meraih keuntungan berlipat ganda menaikkan harga tiket sehingga 500% kepada rakyat Sabah apabila menjelang hari perayaan,” katanya menurut Utusan Borneo.

Beliau yakin kerajaan negeri mampu melaksanakan cadangan baharu itu kerana ia penting dalam membantu rakyat Sabah, pegawai kerajaan, dan pemimpin Sabah berulang-alik antara Semenanjung dan Sabah pada harga tiket berpatutan.

Masiung yang juga naib presiden Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) turut kesal kerana warga Sabah dan Sarawak terdiri daripada golongan pelajar dan pekerja rendah di Semenanjung.

Katanya, kebanyakan mereka terpaksa memerah keringat bagi membeli tiket untuk pulang ke wilayah Borneo.

“Sedangkan kerajaan persekutuan membelanjakan RM93 juta subsidi tol kepada rakyat di Semenanjung selama empat hari sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini,” katanya sambil menambah Sabah dan Sarawak merupakan penyumbang terbesar hasil ekonomi negara.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *