Waris Tragedi ‘Double Six’ Mungkin Tak Boleh Ambil Tindakan Undang-Undang, Kata Peguam

Tragedi ‘Double Six’ pada 1976 meragut nyawa ketua menteri Sabah ketika itu Fuad Stephens dan 10 yang lain selepas pesawat dinaiki mereka terhempas di Sembulan, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU : Peguam menyuarakan keraguan sama ada ahli keluarga mangsa pesawat terhempas di Sabah pada 1976 akan dapat meneruskan tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab atas kejadian itu.

Salim Bashir dan Joshua Wu berkata, walaupun keluarga terbabit mungkin boleh membuat tuntutan atas kecuaian, mereka mungkin tidak dapat meneruskan tindakan undang-undang disebabkan sekatan yang terkandung dalam Akta Had Masa 1953 dan Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948.

Menurut Salim, walaupun Seksyen 6A Akta Had Masa memanjangkan tempoh had biasa sehingga tiga tahun dari tarikh penemuan perbuatan cuai, undang-undang juga memperuntukkan bahawa tiada tindakan boleh diambil selepas 15 tahun perkara itu berlalu.

“Dalam kes tragedi Double Six, keadaan sebenar hanya diketahui 47 tahun selepas (kejadian), iaitu melepasi tempoh 15 tahun yang ditetapkan dalam seksyen 6A (3),” katanya.

Wu pula berkata, mengikut undang-undang, tempoh had tidak mula berjalan jika hak tindakan plaintif disembunyikan oleh penipuan.

Jelasnya, dalam kes sedemikian, seksyen 29(1)(b) boleh melanjutkan had masa terbabit, tetapi hanya jika Seksyen 2(a) Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 tidak terpakai.

“Seksyen 2(a) menyatakan bahawa sebarang tuntutan mahkamah terhadap mereka yang menjalankan tugas awam, atas kecuaian, mesti difailkan dalam tempoh 36 bulan dari kejadian itu,” kata Wu.

“Sabah Air boleh dikatakan termasuk dalam kategori ini (menjadi pihak berkuasa awam) kerana ia didaftarkan sebagai agensi kerajaan negeri bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan,” katanya.

Wu dan seorang lagi peguam, A Srimurugan berpendapat keluarga mangsa sepatutnya memfailkan saman sivil dalam tempoh had yang dikenakan walaupun laporan nahas diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi.

Sebagai contoh, kata Wu, waris keluarga pesawat MH370 yang hilang berjaya memfailkan saman kecuaian walaupun tidak mempunyai butiran penuh mengenai kehilangan pesawat pada masa itu.

Sementara itu, Srimurugan berkata, laporan yang diklasifikasikan bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 tidak menggantung hak ahli keluarga untuk meneruskan tindakan undang-undang.

“Ia tidak menghalang proses litigasi daripada memanggil saksi dan pakar untuk membina kes,” katanya sambil menambah, kehadiran pihak terbabit untuk memberikan keterangan dan mengemukakan dokumen boleh dipaksa menerusi sepina.

Laporan siasatan tribunal Australia yang dikeluarkan pada 26 April mendapati Sabah Air, yang terbabit dalam nahas mengorbankan ketua menteri Sabah ketika itu Fuad Stephens dan 10 yang lain, sebenarnya beroperasi secara haram.

Menurut laporan itu, Sabah Air menghantar draf manual operasinya pada akhir 1975 tetapi tidak pernah diluluskan oleh Jabatan Penerbangan Awam.

Siasatan telah dilancarkan pihak berkuasa Malaysia, pembuat GAF Nomad dan Jabatan Pengangkutan Australia tetapi penemuan mereka tidak pernah didedahkan sehingga awal bulan ini. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *