Harga Sebenar RON95 Tanpa Subsidi Dianggar RM3.22 Seliter

Harga subsidi RON95 dan diesel dijangka diselaraskan secara beransur-ansur.

KUALA LUMPUR: Public Investment Bank Bhd menganggarkan harga sebenar RON95 tanpa subsidi petrol mencecah lebih kurang RM3.22 seliter berbanding RM2.05 seliter sekarang.

“Bagaimanapun, kami percaya subsidi untuk petrol RON 95 dan diesel yang ditetapkan masing-masing pada RM2.05 dan RM2.15 seliter, mungkin tertakluk kepada semakan dan berpotensi meningkat secara beransur-ansur pada akhir tahun ini.

“Justeru, kami menjangkakan bahawa pelarasan beransur-ansur kepada harga subsidi RON95 dan diesel pada separuh kedua 2023 boleh menyebabkan inflasi utama negara menghampiri had julat unjuran rasmi sebanyak 2.8 peratus hingga 3.8 peratus.

“Selain itu, kami menganggarkan bahawa menghapuskan subsidi bahan api untuk kumpulan T20 (golongan berpendapatan tinggi) yang menyumbang 35 peratus daripada semua subsidi bahan api pada 2022 akan meningkatkan inflasi sebanyak 0.45 hingga 0.75 mata peratusan tambahan setiap tahun,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Public Investment Bank menjangkakan Malaysia akan menghadapi tekanan inflasi yang tinggi dalam tempoh jangka pendek walaupun kadar pertumbuhan dijangka perlahan pada separuh pertama 2023.

Ia berkata, beberapa risiko menaik termasuk kenaikan harga komoditi global yang disebabkan oleh ketegangan geopolitik, faktor cuaca buruk, permintaan China yang lebih kukuh daripada jangkaan dan kos input yang meningkat akibat perkembangan kadar pertukaran adalah beberapa sebab kepada unjuran itu.

“Selain itu, pengubahsuaian kepada subsidi domestik dan dasar kawalan harga mungkin menimbulkan tekanan inflasi tambahan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *