Tarikh Syawal Selepas Cerapan Anak Bulan 20 April

KUALA LUMPUR : Orang ramai dinasihat tidak membuat sebarang andaian berhubung tarikh 1 Syawal kerana tarikh sebenar hanya diketahui selepas cerapan anak bulan yang dibuat di 29 lokasi cerapan rasmi di seluruh negara.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam kenyataan berkata, ia susulan penularan sekeping gambar dipercayai diambil dari skrin jam digital di sebuah masjid yang memaparkan ‘Pemberitahuan Akhir Ramadan 1444 H 20 April 2023’.

“Paparan tersebut telah menimbulkan spekulasi dalam kalangan warga maya mengenai tarikh Aidilfitri tahun ini.

“Semua pihak disaran membuat semakan ketepatan tarikh hijri yang terdapat pada jam digital azan, khususnya di masjid dan surau agar sentiasa selari dengan kalendar hijri dikeluarkan Jakim.

“Jakim ingin memaklumkan, pengisytiharan tarikh 1 Syawal pada setiap tahun dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui media utama sejurus menerima laporan hasil cerapan anak bulan setelah mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong yang mewakili Raja-Raja Melayu,” kata kenyataan itu yang dimuat naik di Facebook, hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan, cerapan Hilal Syawal tahun ini akan dijalankan pada petang 20 April bersamaan dengan 29 Ramadan.

Sehubungan itu, semua pihak diminta menghormati ketetapan berkenaan dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung tarikh 1 Syawal.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *