GST Akhirnya Mesti Dikembalikan, Kata Ahli Ekonomi

GST dimansuhkan pada 2018 oleh kerajaan PH, tiga tahun selepas ia diperkenalkan pada kadar 6%.

KUALA LUMPUR : Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akhirnya perlu diperkenalkan semula bagi meningkatkan hasil negara, walaupun jika pentadbiran cukai dibuat dengan lebih cekap dan pengelakan cukai dikurangkan, kata seorang ahli ekonomi.

Profesor Universiti Sunway Yeah Kim Leng berkata, GST ialah sistem cukai yang “lebih cekap dan mempunyai asas yang luas”, manakala model percukaian semasa tidak mampan.

“Peluasan asas cukai ini, dengan tumpuan yang lebih kukuh pada penggunaan berbanding cukai pendapatan, dan digabungkan dengan peningkatan kecekapan perbelanjaan kerajaan, akan mewujudkan sistem cukai berasaskan pertumbuhan,” kata Yeah, yang juga ahli badan penasihat untuk Anwar Ibrahim sebagai menteri kewangan.

Beliau berkata, hasil yang dijana melalui sistem percukaian semasa tidak cukup untuk mengimbangi perbelanjaan kerajaan.

Katanya, perbelanjaan kerajaan diramalkan meningkat bagi kesihatan, pendidikan dan perlindungan sosial untuk menjaga penduduk yang semakin tua.

“Oleh itu, sistem cukai semasa perlu segera ditentu ukur semula,” kata Yeah.

Pada Khamis, bekas menteri kewangan kedua Johari Ghani berkata, model percukaian sedia ada boleh mengakibatkan “hutang tidak terkawal” jika langkah mitigasi tidak dilaksanakan.

Katanya, negara jiran Asean mempunyai peratusan kutipan cukai yang lebih tinggi berbanding purata keluaran dalam negara kasar mereka.

Pada Februari, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mengakui kerajaan mungkin melaksanakan GST “pada masa yang sesuai”.

Cukai itu dimansuhkan pada 2018 oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), tiga tahun selepas ia diperkenalkan pada kadar 6%.

Pengarah penyelidikan Bait Al-Amanah Benedict Weerasena turut mencadangkan agar GST diperkenal semula, dengan mekanisme yang lebih bersasar dan progresif seperti pengecualian bagi semua keperluan asas dan pemindahan tunai lain.

“Wujud juga keperluan untuk mempertimbangkan sedikit pengurangan kadar cukai pendapatan, untuk memberikan sedikit pelepasan daripada cukai baharu atas penggunaan,” kata Weerasena.

Tambahnya, memperkenalkan cukai keuntungan modal yang progresif penting untuk meningkatkan hasil cukai. Malaysia adalah salah satu daripada beberapa negara di rantau ini yang tidak melaksanakan cukai sedemikian, katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *