Seramai 542 PATI Warga Filipina Diusir Pulang

PATI warga Filipina dihantar pulang dari Pelabuhan Sandakan menggunakan pengangkutan laut Feri MV Antonia 1 terus ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina.

KOTA KINABALU: Seramai 542 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina, diusir pulang ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI Siri 8, melalui Pelabuhan Sandakan, semalam.

Semua PATI berkenaan sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar dan Tawau dihantar ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina menggunakan pengangkutan laut.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff, berkata mereka yang diusir itu terdiri daripada 422 lelaki, 92 wanita dan 28 kanak-kanak.

“Jumlah pecahan mengikut usia bagi kanak-kanak dalam pengusiran kali ini adalah membabitkan 23 bulan hingga 12 tahun ke bawah manakala bagi dewasa dari 13 hingga 78 tahun.

“Kanak-kanak yang terbabit dengan penghantaran pulang adalah bersama ibu bapa/penjaga masing-masing.

“Semua tahanan pada kali ini diusir melalui laut dengan menggunakan pengangkutan Feri MV Antonia 1,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

SH Sitti Saleha berkata, semua PATI ini ditahan di Depot Imigresen selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara ini.

PATI warga Filipina dihantar pulang dari Pelabuhan Sandakan menggunakan pengangkutan laut Feri MV Antonia 1 terus ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina.

“Oleh itu, semua warga asing diingatkan supaya memastikan mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan untuk bekerja di Sabah.

“Semua agensi penguatkuasaan di Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara,” katanya.

Sementara itu, SH Sitti Saleha berkata, operasi pemindahan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di Sabah.

“JIM Sabah ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam operasi pengusiran ini, khususnya Kerajaan Negeri Sabah dan Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan,” katanya.

Katanya, JIM Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI.

“Ia dijalankan selepas semua PATI melalui tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *