Guna Kad Pengenalan Orang Lain, 6 Warga Filipina Dipenjara

Tertuduh di Mahkamah Majistret Sepang.

SEPANG : Tiga lelaki dan dua wanita warga Filipina masing-masing dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, kerana kesalahan menggunakan kad pengenalan individu lain.

Seorang lagi tertuduh yang juga remaja bawah umur warga Filipina dan dituduh di atas kesalahan sama dihukum penjara satu bulan.

Majistret Ayuni Izzati Sulaiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Sahara Jamil, 51, Husin Jailun, 48, Nor Aishah Insanul, 29, Ujirin Pandakan, 43, Mukmin Oskar, 29, dan remaja berusia 15 tahun itu selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Majistret turut menetapkan penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan dan selepas tamat hukuman, mereka akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa memiliki dan menggunakan dokumen pengenalan diri yang bukan kepunyaan mereka.

Kesalahan itu dilakukan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 pada 1.30 tengah hari, Khamis lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Zulkarnain Ahmad Nor dan Fadilah Mat Shaari.

Zulkarnain dan Fadilah memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira kesalahan itu boleh mengancam keselamatan negara dan implikasi kepada pemilik kad pengenalan.

Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu kepada mahkamah agar hukuman ringan dikenakan dengan alasan mempunyai tanggungan di Filipina.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian memerintahkan lima tertuduh dipenjara enam bulan bermula tarikh tangkapan manakala remaja perempuan itu dipenjara sebulan selain kesemua tertuduh akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut selepas menjalani hukuman.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan JPN dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berjaya membanteras sindiket yang menyeludup pendatang asing tanpa izin warga Filipina melalui jalan udara dari Sabah ke Semenanjung menerusi Ops Lancar.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Ruji Ubi berkata, hasil operasi itu, 15 individu dipercayai terbabit dengan jenayah berkenaan ditahan di Kuala Lumpur, Johor dan Tawau pada Khamis lalu. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *