Sabah Tidak Iktiraf Tuntutan Pihak Mengaku Waris Kumpulan Sulu -Hajiji

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menyampaikan sumbangan kepada penerima bantuan dan asnaf pada Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan di Dewan Undangan Negeri Kawasan Petagas di Masjid Jamek Putatan hari ini.

PUTATAN : Kerajaan negeri dan seluruh rakyat sama sekali tidak mengiktiraf sebarang tuntutan oleh pihak yang mengaku waris kumpulan Sulu ke atas negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata rakyat Sabah sendiri telah sekian lama memilih untuk bersama membentuk sebuah Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), justeru sebarang tuntutan pihak luar terhadap Negeri di Bawah Bayu itu tidak akan diktiraf sama sekali oleh rakyat negeri itu.

Hajiji  berkata Kerajaan Sabah yakin Kerajaan Persekutuan akan mengambil tindakan serius dan langkah yang konkrit bagi menyelesaikan apa sahaja isu tuntutan ke atas Sabah termasuk tuntutan yang dibuat oleh kumpulan tersebut.

“Memang kita yakin (dengan Kerajaan Persekutuan) kerana kita sendiri tidak pernah mengiktiraf tuntutan (kumpulan mendakwa waris) Sultan Sulu ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Ramadan kepada ibu tunggal dan penduduk kurang bernasib baik di sini hari ini. 

Majlis yang diadakan di Masjid Jamek Putatan itu menyaksikan kira-kira 400 penduduk menerima sumbangan dan turut hadir Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya yang juga Ahli Parlimen Putatan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Petagas Datuk Awang Ahmad Sah Sahari.

Kumpulan yang mendakwa waris Sulu sebelum ini dilaporkan membawa tindakan undang-undang ke Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah, yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *