Tiga Maut Dalam Kemalangan Dua Kenderaan Di Penampang

Dua kenderaan bertembung yang menyebabkan tiga maut di Jalan Papar Lama berhampiran Kampung Nambazan, Penampang.

PENAMPANG: Tiga maut selepas dua kenderaan bertembung dalam kejadian pemandu melawan arus di Jalan Papar Lama, berhampiran Kampung Nambazan, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, kemalangan menyebabkan dua pemandu dan seorang penumpang meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kemalangan membabitkan kereta jenis Kia yang dipercayai melawan arus, sebelum bertembung dengan Perodua Myvi yang dinaiki tiga penumpang termasuk seorang kanak-kanak berusia 4 tahun.

Dua mangsa yang maut membabitkan Perodua Myvi, manakala seorang lagi adalah pemandu Kia.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata siasatan awal mendapati, kemalangan berpunca daripada sebuah kereta yang dipandu melawan arus.

Katanya, pemandu itu dipercayai memasuki lorong bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lagi kereta secara berhadapan.

“Impak kemalangan itu menyebabkan kedua-dua kereta mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.

“Tiga mangsa lelaki disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan manakala seorang kanak-kanak lelaki cedera ringan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Haris berkata, mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *