Kanak-Kanak Tiga Tahun Dibunuh Kejam, Tangan Diikat, Kepala Tersepit Pokok

Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun daripada suku Palauh ditemui mati di Kampung Panji. Foto Tular Di Media Sosial

LAHAD DATU : Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dipercayai dibunuh selepas ditemui dalam keadaan tangan diikat di kawasan semak di Kampung Panji di sini, semalam.

Mayat mangsa ditemui orang awam dalam keadaan berdarah dan kepalanya turut tersepit pada pokok.

Pemangku Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Azmir Abdul Razak berkata, pihaknya menerima laporan penemuan mayat itu pada 3.50 petang semalam, sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dikejarkan ke lokasi.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa daripada suku Palauh mengalami kecederaan iaitu luka di bahagian kepala, kedua belah tangan dan kaki kiri.

“Tangan sebelah kanan mangsa turut diikat menggunakan seutas tali. Kepala mangsa turut tersepit di antara dua pokok dan dipercayai dicederakan dengan benda tajam.

“Turut ditemui kesan torehan di kedua-dua belah tangan dan kaki kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmir berkata, siasatan awal, ibu mangsa yang berusia lingkungan 20 tahun mendakwa mangsa keluar rumah untuk bermain, namun tidak pulang sehingga mayatnya ditemui.

“Mangsa kali terakhir dilihat pada 12 tengah hari semalam dan ibu mangsa telah berusaha mencari di sekitar kampung sebelum dimaklumkan anaknya ditemui di kawasan semak kampung itu pada 3 petang,” katanya.

Menurutnya, susulan laporan, lelaki warga asing lingkungan 30-an ditahan untuk siasatan lanjut, selepas kali terakhir dilihat bersama mangsa.

“Suspek juga didapati positif dadah serta dipercayai kurang siuman. Kita juga menahan ibu bapa mangsa untuk membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai dinasihatkan tidak menularkan maklumat yang tidak sahih sumbernya dan sentiasa merujuk polis. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *