KDM Sokong Hajiji Terus Terajui Sabah

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

KOTA KINABALU, 21 Feb : Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menyatakan sokongan kepada Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor untuk terus menerajui kerajaan negeri Sabah.

Presiden KDM Datuk Peter Anthony berkata keputusan menyokong Hajiji, yang juga Ketua Menteri Sabah, dibuat demi kebaikan rakyat dan pembangunan negeri ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata kepimpinan parti itu membuat keputusan menyokong Hajiji dan kerajaan negeri pada masa ini tanpa sebarang syarat.

“Terpulang kepada keterbukaan beliau (Hajiji) sama ada mahu menerima sokongan ini atau tidak, apa yang kita mahu adalah sama-sama membangunkan negeri ini dan membantu rakyat di kawasan masing-masing,” katanya pada sidang media di pejabat parti itu di sini hari ini.

Pada 7 Jan lepas, Peter dan dua lagi ADUN parti itu, Datuk Juil Nuatim (Limbahau) dan Datuk Wetrom Bahanda (Bandau) mendakwa Hajiji tidak lagi mempunyai sokongan majoriti sebagai Ketua Menteri, namun parti itu membuat keputusan baharu hari ini.

Peter berkata permainan politik tanpa henti di negeri ini akan menyukarkan rakyat dan tidak akan dapat membantu memajukan Sabah, justeru parti itu hari ini terpanggil untuk menyokong Hajiji bagi bersama-sama membangunkan negeri berkenaan.

“Kalau kita sering berpolitik, sampai bila-bila kita tidak dapat majukan Sabah. Oleh itu kita perlu akur dengan keputusan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang mahu Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat dan di Sabah,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *