Muhyiddin Nafi Beri Kontrak Kepada Syarikat Menantu

Muhyiddin Yassin berkata tuduhan yang dilemparkan itu berniat jahat bagi mencalar maruah beliau dan keluarga.

KUALA LUMPUR : Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan sekeras-kerasnya beliau terbabit dalam pemberian kontrak Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada IRIS Corporation Berhad yang dikaitkan dengan menantunya.

Dalam satu kenyataan hari ini yang dilapor BH, bekas Perdana Menteri yang merujuk laporan sebuah portal berita bertarikh 8 Februari, menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai fitnah yang sengaja direka untuk mencalar maruahnya dan keluarga.

“Saya sebagai Perdana Menteri pada masa itu, sama sekali tidak terlibat dalam proses penganugerahan kontrak NIISe kepada IRIS Corporation Berhad yang dijalankan secara tender terbuka.

“Proses perolehan kontrak dibuat mengikut tatacara perolehan biasa kerajaan di bawah seliaan Kementerian Kewangan dan kementerian yang berkaitan. Ia bukan berada di bawah tanggungjawab atau bidang kuasa saya sebagai Perdana Menteri pada waktu itu,” katanya.

Selain itu, beliau yang juga Presiden Bersatu merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menegaskan, tiada mana-mana ahli keluarganya mempunyai kepentingan dalam IRIS Corporation Berhad, sama ada sebagai pengarah syarikat atau pemegang saham.

“Bagaimana saya yang tidak mempunyai bidang kuasa dalam penganugerahan kontrak dan keluarga saya yang tidak ada sebarang kepentingan dalam syarikat yang dianugerahkan kontrak, ditohmah menyalahgunakan kuasa demi kepentingan diri dan keluarga?,” soalnya.

Jun lalu, Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, pelaksanaan NIISe dengan kos RM1 bilion diyakini mampu mempertingkatkan sistem imigresen negara ke tahap yang lebih baik.

Beliau berkata, kontrak NIISe di antara kerajaan dengan IRIS Information Technology Systems Sdn Bhd dimuktamadkan pada Mei 2022, membabitkan lebih 12 kontraktor.

Mengikut tempoh kontrak, NIISe akan beroperasi sepenuhnya pada 2024. Sistem itu dilaksanakan bagi menggantikan sistem myIMMs di Jabatan Imigresen yang sudah beroperasi lebih 20 tahun lalu. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *