Hajiji Berjiwa Besar Tangani Krisis Politik Sabah, Kata Penganalisis

Pelantikan anggota Jemaah Menteri baharu kerajaan Hajiji Noor (kanan) menunjukkan beliau lebih pemurah dan inklusif berbanding Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid Hamidi, kata seorang penganalisis.

KUALA LUMPUR : Langkah Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor mengendalikan kemelut politik di negeri itu menunjukkan sifatnya yang pemurah dan inklusif berbanding Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, kata seorang penganalisis.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah, berkata adalah wajar Jemaah Menteri kerajaan Hajiji terdiri daripada wakil parti yang menyokongnya sebagai ketua menteri.

Awal hari ini, Hajiji mengumumkan barisan Jemaah Menteri baharunya dengan menggugurkan pemimpin Umno menentangnya, termasuk Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin, Jafry Ariffin dan Yakub Khan.

Beliau turut melantik Christina Liew dari PKR dan Phoong Jin Zhe dari DAP sebagai menteri, dan melantik Shahelmey Yahya sebagai timbalan ketua menteri dan menteri kerja raya menggantikan Bung.-ADVERTISEMENT-Ads by 

Bung mendakwa, Jemaah Menteri baharu kerajaan Hajiji bukanlah kerajaan perpaduan disarankan Anwar Ibrahim di Sabah, namun Lee menyatakan ia mencerminkan realiti politik di negeri itu.

“Sama seperti Jemaah Menteri Anwar (persekutuan), ia terdiri dalam kalangan mereka menyokong kerajaan perpaduan beliau. Mereka yang tidak menyokong kepimpinan Anwar tidak dilantik dalam Jemaah Menteri,” kata Lee kepada FMT.

Beliau berkata, Hajiji telah menunjukkan dirinya berjiwa besar dengan mengekalkan jawatan timbalan ketua menteri untuk seorang ADUN Umno.

“Kerajaan perpaduan Anwar hanya memberikan jawatan timbalan menteri kepada Umno Sabah walaupun mereka menyumbang enam daripada 30 kerusi Parlimen Barisan Nasional di seluruh negara. Itu 20% daripada kerusi BN.

“Tiada satu pun jawatan menteri penuh diberikan kepada Ahli Parlimen Umno Sabah dalam Jemaah Menteri persekutuan,” katanya.

Lee juga berkata, mereka yang menentang kepimpinan Hajiji, sama ada daripada Umno, Warisan atau Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia pimpinan Peter Anthony, tidak mempunyai hak mengadu kerana diketepikan menganggotai Jemaah Menteri baharu.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berkata penyingkiran Bung daripada barisan Jemaah Menteri itu akan melemahkan pemimpin Umno berkenaan kerana beliau tidak mempunyai jawatan dalam kerajaan.

“Bung, termasuk mereka sealiran dengannya, dan Warisan adalah yang paling rugi dalam kemelut ini,” katanya sambil menambah beliau menolak kerajaan perpaduan di Sabah dalam erti kata sebenar.

Oh berkata, beliau percaya barisan baharu itu akan menyelesaikan krisis di Sabah dan meredakan ketidakstabilan di negeri itu buat masa ini. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *