Kerajaan Perpaduan Sabah Mesti Libat Semua Parti Di Pusat, Zahid Kupas Saranan Anwar

Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyarankan pembentukan kerajaan perpaduan di Sabah yang melibatkan semua parti dalam kerajaan persekutuan, kata Zahid Hamidi mengenai usaha menyelesaikan kemelut politik di Sabah.

Timbalan perdana menteri itu berkata harus ada tempoh bertenang di Sabah dan mereka telah mengemukakan beberapa formula bagi menyelesaikan masalah di negeri itu.

“Dalam keadaan bertenang ini pun masih ada perkara-perkara yang berlaku,” katanya kepada pemberita.

“Apa yang penting adalah cadangan perdana menteri untuk menubuhkan kerajaan perpaduan di Sabah yang melibatkan semua parti di peringkat persekutuan, dan saya meminta semua parti berlapang dada dan berfikiran terbuka.

“Untuk Sabah tentunya tidak begitu sukar untuk Kerajaan Perpaduan itu diwujudkan, tetapi soal penerimaan adalah satu aspek yang harus kita santuni terlebih dahulu,” katanya dalam sidang media di Menara Kuala Lumpur.

Zahid juga pengerusi Barisan Nasional (BN) dan presiden Umno berkata, beliau yakin rakyat Sabah tidak mahu pilihan raya negeri diadakan kerana ini bukan hanya memenatkan tetapi dalam masa sama membebankan.

Krisis politik di Sabah bermula pada Khamis lalu selepas terdapat spekulasi Umno Sabah dan parti pembangkang Warisan berusaha menubuhkan kerana negeri baharu.

Sehari selepas itu, Pengerusi Umno dan BN Sabah Bung Moktar Radin menarik balik sokongan terhadap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah, Hajiji Nor sebagai ketua menteri.

Malam tadi, Anwar mengadakan rundingan dengan pemimpin dari BN Sabah, Warisan dan Hajiji di Kota Kinabalu, sebelum beliau memberi restu kepada Hajiji untuk terus memimpin negeri itu.

Zahid yang terlebih dahulu bertemu dengan pemimpin BN dan Umno Sabah, turut hadir dalam pertemuan bersama Anwar itu. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *