Wanita Maut Dihempap Pokok Ara

Pasukan bomba bertindak memotong pokok tersebut menggunakan gergaji berantai untuk mengeluarkan mangsa.

PAPAR : Seorang wanita maut akibat dihempap pokok ara yang tumbang dalam kejadian di Kampung Laut Kinarut, di sini pada petang Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa Katizah Juani, 55, meninggal dunia dipercayai akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.59 petang.

Katanya, seramai 13 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 18 kilometer dari BBP Papar.

“Menurut laporan, sebatang pokok ara tumbang dan menghempap tiga rumah sehingga mengalami kerosakan sebanyak 80 peratus.

“Terdapat seorang mangsa wanita dihempap pokok kayu ara dan pasukan bomba bertindak memotong pokok tersebut menggunakan gergaji berantai sebelum mengeluarkan mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.

“Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Pihak bomba kemudian memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan pada jam 5.29 petang,” katanya. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *