KOTA KINABALU: Agong dijangka mengumumkan Yang di-Pertua Negeri Sabah yang baharu hari ini.
Bagaimanapun, Jabatan Ketua Menteri Sabah tidak mendedahkan siapa yang bakal memegang jawatan itu.
Antara nama diuar-uarkan termasuk dua bekas ketua menteri, Musa Aman dan Joseph Pairin Kitingan serta bekas speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia. Malah ada juga spekulasi bahawa penyandang jawatan itu, Juhar Mahiruddin kekal memegangnya untuk sepenggal lagi.
Juhar dilantik Yang di-Pertua Negeri Sabah pada Januari 2011, yang sepatutnya berakhir selepas dua penggal (lapan tahun). Bagaimanapun, beliau dilantik semula ke jawatan itu pada 2018 selepas kerajaan Warisan meminda Perlembagaan Sabah untuk memansuhkan had tempoh dua penggal berkenaan.
Keputusan berkenaan dikecam pembangkang ketika itu, yang mendakwa pelantikan semula Juhar satu ganjaran politik bagi peranan dimainkan dalam membantu Warisan merampas kuasa di Sabah daripada Barisan Nasional selepas pilihan raya negeri 2018.
Juhar turut dipersalahkan kerana membenarkan bekas ketua menteri Shafie Apdal membubarkan Dewan Undangan Negeri pada 2020 selepas hilang majoriti kepada pemimpin pembangkang ketika itu, Musa Aman.
Pada September, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) mencalonkan presidennya, Joseph Pairin Kitingan sebagai Yang di-Pertua Negeri.
Mengikut Perlembagaan Sabah, tiada keperluan untuk pemegang jawatan itu beragama Islam, walaupun ada menghujahkan ia wajar kerana beliau juga akan menjadi ketua agama Islam di Sabah. Perlembagaan itu turut menyatakan ketua agama Islam negeri adalah Yang di-Pertuan Agong, bukannya Yang di-Pertua Negeri.
Jawatan Yang di-Pertua Sabah mesti dicalonkan ketua menteri sebelum diperkenan Yang di-Pertuan Agong. – FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost